PUSAT PERHUBUNGAN ALUMNI UPM BERKONGSI REZEKI DAN ILMU BERSAMA ANAK-ANAK YATIM DAN ASNAF RUMAH AS-SOLIHIN | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » PUSAT PERHUBUNGAN ALUMNI UPM BERKONGSI REZEKI DAN ILMU BERSAMA ANAK-ANAK YATIM DAN ASNAF RUMAH AS-SOLIHIN

PUSAT PERHUBUNGAN ALUMNI UPM BERKONGSI REZEKI DAN ILMU BERSAMA ANAK-ANAK YATIM DAN ASNAF RUMAH AS-SOLIHIN

Oleh: Suziana Che Wil

BANTING - Pusat Perhubungan Alumni sekali lagi hadir dengan Program Tautan Mahabbah untuk penganjuran kali yang ketujuh. Jika tahun sebelum ini, Rumah Anak-anak Yatim dan Asnaf, Raudhatul Jannah menerima sumbangan berupa kelengkapan rumah dan kelengkapan menyambut Aidilfitri, kali ini Program Tautan Mahabbah 7.0 menyantuni 40 anak-anak yatim dan asnaf dari Rumah As-Solihin, Kanchong Darat, Banting Selangor.

Kali ini dengan mengetengahkan konsep berkongsi rezeki semangat menyumbang alumni diperlihatkan daripada usaha untuk bersama-sama memberi dan menyediakan kelengkapan menyambut Ramadan dan juga keperluan kepada persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif kepada anak-anak yatim dan asnaf ini.

Ini bertepatan dengan seruan daripada Naib Canselor UPM, YBhg. Dato’ Prof. Dr. Roslan Sulaiman dalam Naratif Naib Canselor 2023, ikhtiar ketujuh ‘Menyatu Kekuatan Alumni’ sumbangan daripada para alumni untuk siri ketujuh Program Tautan Mahabbah ini diteruskan oleh Prof. Madya Dr. Hamisah Hassan, MyFundAction dan Chapter Alumni YOSH,  Alumni Mahasiswa PUTRA, para alumni UPM dan juga individu. 

Dengan jumlah sumbangan berjumlah RM13, 268.30, Pusat Perhubungan Alumni UPM telah berjaya menyediakan keperluan untuk para penghuni menyambut Hari Raya Aidilfitri dan juga kelengkapan untuk persekitaran pembelajaran yang lebih selesa. Antara yang berjaya disediakan seperti penggantian kipas siling yang telah usang, almari pakaian, meja belajar boleh lipat, pakaian hari raya, pemuliharaan ruang guna sama dan juga papan tanda rumah turut digantikan. 

 

Pada program kali ini, ARCUPM selaku entiti yang sentiasa menjadi penghubung rapat antara alumni dan alma mater, turut melibatsama peranan pelajar terutamanya pelajar dari Chapter Student Ambassador (CSA). Menurut Pengarah ARCUPM, ini adalah sebagai satu persediaan untuk para pelajar UPM kerana mereka juga bakal bergelar alumni kelak. Jadi pendedahan awal begini boleh memberi kesedaran kepada mereka bahawa khidmat masyarakat sebegini tidak pernah ada noktah pengakhirannya.

“Pendedahan ini adalah untuk membuktikan dan memperlihatkan peranan pelajar yang bakal menjadi alumni satu hari nanti akan meneruskan kelangsungan ini dan akan dirancakkan lagi pada masa akan datang. Menerusi program ini juga menjadi bukti bahawa hubungan dan kesanggupan pelajar untuk bersama-sama komuniti sudah pun digerakkan ketika pelajar masih berada di alam kampus. Seandainya ini dapat diteruskan dan dijadikan satu semangat bersama menyemai rasa ihsan sesama insan, ini akan memperlihatkan yang mahasiswa UPM telah mempunyai keupayaan dan kehebatan sebagaimana yang dihasratkan dalam konteks untuk melahirkan masyarakat madani seperti yang diimpikan oleh negara pada hari ini.” ujar beliau.

Mankala menurut Ketua Program Tautan Mahabbah pula, Encik Norfarhan Norzaini, program kali ini ada sedikit kelainan, apabila para pelajar yang rata-rata mempunyai asas dalam bidang pertanian turut melakukan pemindahan ilmu kepada para penghuni dengan mengajar cara yang betul untuk menanam anak pokok Bayam Brazil yang ditanam di dalam pasu.

“Ini adalah kelainan pada program kali ini. Kita tidak hanya menyampaikan sumbangan dalam bentuk kewangan semata-mata tetapi turut mengajar adik-adik di Rumah As-Solihin dengan ilmu menanam pokok. Sekurang-kurangnya boleh untuk kegunaan harian mereka sekaligus dapat menjimatkan kos.” Ujarnya.

Program ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang kerana dengan semangat slogan ‘Eratkan Kerjasama Sesama Alumni’ ramai yang dapat dibantu dengan pelbagai sumbangan yang diberikan. Pusat Perhubungan Alumni UPM terus menyemarakkan rasa kebersamaan ini bersama alumni, bakal alumni dan seluruh warga UPM untuk sama-sama melestarikan budaya ‘memberi’ untuk kemaslahatan seluruh alam tidak terhad kepada pelajar UPM sahaja tetapi juga komuniti yang memerlukan bantuan.

Tarikh Input: 13/04/2023 | Kemaskini: 01/09/2023 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXEZAAG~