Penyerahan Sijil The Malaysia Book Of Records Kepada Naib Canselor UPM | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » Penyerahan Sijil The Malaysia Book of Records kepada Naib Canselor UPM

Penyerahan Sijil The Malaysia Book of Records kepada Naib Canselor UPM

Oleh : Suziana Che Wil

Suntingan : Nik Hafzaini Nik Hassan

SERDANG – 22 September 2021, Pusat Perhubungan Alumni telah mengadakan satu sesi penyerahan sijil secara fizikal The Malaysia Book of Records kepada Ybhg. Prof. Dr. Roslan Sulaiman, Naib Canselor, Universiti Putra Malaysia. 

Pada sesi penyerahan ini antara yang hadir ialah Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM), Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud, Timbalan Pengarah ARCUPM, Encik Fahmi Azar Mistar dan juga Cik Aida Fitri Peli, Pegawai Eksekutif ARCUPM yang juga Ketua Seksyen Jalinan dan Pengukuhan Alumni. 

Terdahulu, pada 6 Ogos 2021 yang lepas,  satu majlis penganugerahan oleh The Malaysia Book of Records telah diadakan secara dalam talian dengan pengumuman dilakukan oleh Perunding Rekod Kanan MBOR, Encik Edwin Yeoh Teong Chin. 

Penganugerahan ini adalah atas kejayaan program UPM Alumni Golden Fit, iaitu satu acara kecergasan yang diadakan secara maya telah berjaya mengumpul penyertaan terbesar daripada alumni UPM iaitu sejumlah 6,230 penyertaan. 

Program yang dijalankan selama lima bulan iaitu bermula februari hingga julai 2021, telah menunjukkan satu komitmen yang tinggi daripada para alumni UPM dan telah mencetuskan satu jalan kejayaan yang lebih bermakna apabila menerusi program ini telah menggerakkan pendanaan biasiswa daripada pihak Menteri Besar Selangor untuk para pelajar UPM. 

Program yang dirangka bersempena sambutan Perayaan Jubli Emas 50 Tahun UPM (1971-2021) telah melakar satu sejarah baru buat seluruh warga UPM. Kejayaan program ini merupakan hasil usaha dan kerjasama semua pihak iaitu Pengurusan tertinggi universiti, pensyarah, pegawai kanan, staf dan juga pelajar. 

Menurut Timbalan Pengarah ARCUPM, Fahmi Azar Mistar, UPM Alumni Golden Fit membuktikan semangat kerjasama seluruh warga UPM termasuk alumni UPM telah memberikan kejayaan penuh bermakna apabila berjaya dicatatkan dalam The Malaysia Book of Records. Kejayaan ini lebih manis dan bermakna apabila dicatatkan pada tahun UPM sedang meraikan sambutan Perayaan Jubli Emas 50 Tahun UPM (1971-2021). 

Sekalung penghargaan dan apresiasi diucapkan kepada para alumni UPM dan warga Universiti Putra Malaysia yang telah menyertai program ini dengan jayanya. Tahniah diucapkan kepada Chapter Student Ambassador (CSA) dan rakan penganjur Persatuan Alumni UPM dan KDS Apparel atas kejayaan ini.

 

Tarikh Input: 30/09/2021 | Kemaskini: 04/10/2021 | alif.isnain

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXDcWAv~