Pelajar Tajaan Biasiswa Yayasan Pak Rashid Tamatkan Pengajian Dengan Cemerlang | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » Pelajar Tajaan Biasiswa Yayasan Pak Rashid Tamatkan Pengajian dengan Cemerlang

Pelajar Tajaan Biasiswa Yayasan Pak Rashid Tamatkan Pengajian dengan Cemerlang

Oleh : Suziana Che Wil

Suntingan : Nik Hafzaini Nik Hassan 

 

SERDANG, 29 Nov – Universiti Putra Malaysia (UPM) sekali lagi mengadakan Majlis Konvokesyen kali ke-46 yang telah berlangsung dari 26 – 2 Disember 2022. Sidang kali ini menyaksikan seramai 6092 graduan daripada program Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah menerima ijazah masing-masing.

Sebelum ini sidang pertama telah pun diadakan di Dewan Sri Kenyalang, Universiti Putra Malaysia, Kampus Bintulu, Sarawak pada 1 November 2022. Sidang satu yang berlangsung di Kampus Bintulu turut menyaksikan yang turut menyaksikan keberangkatan hadir Tuanku Canselor UPM, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj ke majlis konvokeysen tersebut.

Sidang kedua pula diteruskan di UPM Serdang dan kali ini suasana kembali meriah dengan kehadiran graduan dan keluarga secara fizikal. Tradisi ini kembali menghangatkan suasana kampus dengan warna-warni konvokesyen yang menyaksikan banyak pengorbanan dan cabaran yang telah berjaya diharungi oleh pelajar sehinggalah hari ini mereka dianugerahkan ijazah masing-masing.

Pada sidang kali ini juga menyaksikan pelajar-pelajar tajaan biasiswa alumni turut menerima ijazah masing-masing. Yayasan Pak Rashid antara biasiswa alumni yang ditubuhkan dengan berobjektifkan membantu para pelajar yang cemerlang dan tidak berkemampuan dari segi kewangan. Pemilihan pelajar yang bakal menerima biasiswa ini juga dilakukan oleh para pemegang amanah Yayasan Pak Rashid dan pelajar ini akan menjalani saringan temuduga bersama pemegang amanah atas dasar mahu memberikan pendanaan kepada mereka yang benar-benar layak dan sekaligus membantu pelajar yang berpotensi tetapi tidak berkemampuan untuk belajar dengan lebih selesa.

Yayasan Pak Rashid (YPR) mula dilancarkan secara rasmi pada bulan November 2000 dan yayasan ini diilhamkan bersempena nama Pak Rashid seorang guru yang cemerlang dan merupakan pengasas dan perintis kepada penubuhan Universiti Pertanian Malaysia. Dedikasi terhadap pendidikan dan semangat cintakan pertanian telah melayakkan beliau mendapat pengiktirafan tertinggi iaitu Honorary Doctorate in Letters dari Universiti Pertanian Malaysia dan Ridley Centennial Award (Posthumous).

Yayasan Pak Rashid sentiasa menyokong kecemerlangan UPM dalam pelbagai cara melalui penubuhan Kursi Pendidikan. YPR melalui penyaluran geran penyelidikannya berusaha meningkatkan taraf Universiti Putra Malaysia sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi yang terulung dalam bidang Penyelidikan dan Pembangunan (R&D). Yayasan Pak Rashid juga turut mengurniakan Anugerah Pingat Emas Yayasan Pak Rashid kepada pelajar cemerlang dan menyokong projek- projek berinovasi dalam bidang pertanian dan pendidikan. Berikutan itu, YPR sangat bergantung kepada sumbangan dermawan, Alumni dan teman- teman Universiti bagi merealisasikan objektif dan matlamat penubuhannya.

Sidang Kedua, Majlis Konvokesyen UPM Kali-46 seramai enam orang pelajar yang menerima penajaan Biasiswa Yayasan Pak Rashid telah berjaya menamatkan pengajian masing-masing dan salah seorang daripada mereka merupakan pelajar cemerlang yang turut menerima Anugerah Hadiah Universiti bagi kategori Pingat Putra Agribio iaitu Melissa Lok Mei Teng dari Fakulti Pertanian. Bermula 2013 sehingga 2022, seramai 21 pelajar yang telah berjaya menamatkan pengajian maisng-masing di bawah tajaan Biasiswa Yayasan Pak Rashid.

Bagi Melissa Lok Mei Teng, pelajar Bacelor Sains Hortikultur, penerima Anugerah  Hadiah Universiti, Pingat Putra Agribio dan penerima Biasiswa Yayasan Pak Rashid, melahirkan rasa terharu di atas penajaan yang diberikan sepanjang pengajiannya sehingga berjaya merangkul Hadiah Universiti yang bukan calang-calang untuk memenanginya.

“Saya sendiri tidak menyangka akan menamatkan pengajian dengan kejayaan yang pada saya amat mengharukan dan membanggakan keluarga. Apa yang saya boleh katakan, apabila kita mampu belajar dengan selesa tidak perlu fikirkan masalah lain terutama dari segi kewangan sangat membantu saya meraih kejayaan hari ini. Selama empat tahun pengajian saya di UPM dan saya adalah penerima biasiswa YPR, banyak perkara yang telah saya pelajari. Tidak hanya pada bidang akademik sahaja, tetapi juga bidang kokurikulum dan persatuan. Untuk berjaya dengan cemerlang kita perlu seimbang kesemua bidang. Impian saya adalah untuk menjadi seorang yang tahu apa yang perlu dilakukan dan bukanlah hanya menjadi ikut-ikutan sahaja. Sejak dari hari pertama melangkah ke UPM, impian saya adalah untuk menamatkan pengajian dengan kejayaan. Hari ini saya berjaya dan penghargaan saya pada UPM dan Yayasan Pak Rashid amat tinggi sekali. Dan semoga saya juga mampu kembali menyumbang kepada alma mater meneruskan kesinambungan sumbangan para alumni untuk universiti dan pelajar seterusnya. Terima kasih saya ucapkan kepada Pusat Perhubungan Alumni yang selama ini banyak memudahkan urusan saya terutamanya berkaitan biasiswa,” ujarnya.

Bagi Goh Yong Sheng pula penerima Pingat Emas Yayasan Pak Rashid, beliau merasakan anugerah yang diterimanya itu satu hadiah yang cukup bernilai di atas pengorbanan dalam mengharungi cabaran selama empat tahun di UPM.

“Selepas melalui fasa perintah kawalan pergerakan (PKP) yang panjang dan perlu belajar secara atas talian sebenarnya banyak memberi cabaran. Berubah rutin bukan mudah untuk diadaptasi. Tetapi dengan bantuan semua pensyarah dan rakan-rakan tidak mematahkan semangat untuk berjaya. Sokongan daripada keluarga menyediakan segala kelengkapan untuk belajar secara atas talian di mana rangkaian internet dan peranti menjadi dua perkara yang sangat penting. Hari ini saya berjaya dan lebih manis saya juga dianugerahkan sebagai Penerima Pingat Emas Yayasan Pak Rashid, satu anugerah yang saya tidak jangkakan sama sekali. Membawa nama Pak Rashid itu sendiri sudah cukup membanggakan saya dan pastinya ini akan menjadi pembakar semangat untuk saya lebih berjaya di luar sana dan juga sebagai alumni UPM yang tidak akan melupakan jasa yang telah diberikan kepada saya.  Terima kasih UPM dan seluruh warganya,” ujarnya.

 

 

 

 

Tarikh Input: 30/11/2022 | Kemaskini: 11/01/2023 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXETWA1~