Naratif Naib Canselor 2022 Penekanan Terhadap Aspirasi Demi Mempertingkatkan Daya Saing Seluruh Warga UPM | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » Naratif Naib Canselor 2022 Penekanan Terhadap Aspirasi Demi Mempertingkatkan Daya Saing Seluruh Warga UPM

Naratif Naib Canselor 2022 Penekanan Terhadap Aspirasi Demi Mempertingkatkan Daya Saing Seluruh Warga UPM

Oleh : Suziana Che Wil 

Suntingan : Nik Hafzaini Nik Hassann 

Terjemahan BI : Siti Nur’ain Feisal 

 

 

SERDANG, 11 Feb – Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Roslan Sulaiman telah menyampaikan Naratif Naib Canselor 2022, di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah , UPM. 

Pada ucapannya pada kali ini telah menggariskan aspirasi yang bakal dilaksanakan dan dihayati oleh seluruh warga UPM dalam sama-sama mempertingkatkan kecemerlangan dan daya saing UPM dan seluruh warga termasuk para alumni UPM. 

Sebanyak 11 aspirasi telah diutarakan oleh Prof. Dr. Roslan dalam Naratif Naib Canselor 2022 dan beliau meminta agar semua warga UPM bukan sahaja menghayati malah melaksanakannya. Beliau juga menyampaikan hasrat agar tahun 2022 ini dilalui dengan jiwa yang kental, semangat yang membara dan terus bangun berjuang mendepani cabaran yang lebih mencabar dengan penuh keberanian.

Antara aspirasi yang dilontarkan ialah Menakhoda Pertanian dan Pusat Rujukan Pengembangan, Melahirkan Pelajar Sebagai Sosok Warganegara Yang Baik, Merealisasikan Kampus Pintar, Memartabatkan Penyelidikan Untuk Negara, Menjuarai Misi Universiti Untuk Masyarakat, Merancak UPM Global, Mengekalkan Reputasi UPM Sebagai Universiti Paling Lestari, Memugar Cakna Menjulang Bakti, Memperhebatkan Prakarsa Kesejahteraan Kampus, Membingkas Pendanaan Universiti dan Melibatsamakan Alumni Untuk Kelangsungan Universiti. 

Menurut beliau, Naratif Naib Canselor pada tahun ini adalah kesinambungan daripada naratif tahun lalu yang lebih menyeru warga UPM menggema seruan al-Falah dari menara ilmu yang kini perlu direalisasikan ke dalam bentuk tindakan dan pelaksanaannya pada tahun ini. 

“Pada hari ini saya menyeru kepada seluruh warga UPM untuk bersama ‘Sederap Melangkah Menuju al-Falah.’ Ayuhlah kita berganding bahu bersama menunaikan harapan masyarakat dan bangsa yang tersandang pada bahu kita,” ucap beliau dalam majlis Naratif Naib Canselor 2022. 

Beliau berkata, pada tahun ini, UPM akan memberi fokus kepada program-program yang dirancang oleh Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang menyokong pencapaian sasaran Pelan Strategik UPM 2021-2025, khususnya aspek pertanian berteknologi tinggi, pendigitalan kampus pintar serta program yang menyumbang kepada kelestarian institusi mapan.

Pusat Perhubungan Alumni (ARCUPM) antara PTJ yang sentiasa bersama-sama menggerakan setiap aspirasi universiti dalam melestarikan kecemerlangan insitusi bersama-sama para alumni. 

Pada tahun 2021, ARCUPM seganding bersama alumni, pelajar dan warga UPM telah berjaya merakam sejarah apabila program kecergasan maya, UPM Alumni Golden Fit 2021 telah berjaya dengan penyertaan terbesar alumni seramai 6,203 alumni dan diiktiraf penyertaannya dalam The Malaysia Book of Records. 

Untuk 2022, dengan mendukung aspirasi, Naib Canselor dalam Memugar Cakna Menjulang Bakti, Projek Misi UPM di Puncak Dunia@Everest dengan keserakanan dan kebersamaan alumni, bakal mencipta satu lagi sejarah. 

Seluruh warga UPM dihasratkan sama-sama mendukung hasrat ini dalam usaha meletakkan nama UPM di puncak dunia@Everest. Ini bukan kejayaan induvidu mahupun sebuah PTJ tetapi ia bakal menjadi kejayaan seluruh warga UPM dan alumni UPM. 

“Ravichandran Tharumalingam (Alumni Kelas 1990) bakal membawa UPM di puncak dunia@Everest dalam Misi Ekspedisi UPM@Everest yang bermula pada pertengahan Mac dan berakhir pada Julai ini,” ujar beliau.

Setiap detik perjalanan bersejarah ini, katanya, warga UPM boleh mengikutinya secara live di TikTok@UniPutra yang akan merakam dan mendokumentasikan setiap perjalanan menuju ke Puncak Everest.

Misi itu sebagai suatu manifestasi dan simbolik bagi merealisasikan semangat keberanian UPM dan warganya bersama-sama bergerak sederap untuk mencapai puncak kejayaan.

Naratif Naib Canselor 2022, sarat dengan amanat, harapan dan kejituan merencana hala tuju UPM dalam mencipta kejayaan demi kejayaan untuk seluruh warganya. 

 

Tarikh Input: 18/02/2022 | Kemaskini: 02/03/2022 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXEUHA3~