Naib Canselor UPM Menyantuni Pelajar B40, OKU Dan Asnaf Terima Sumbangan Komputer Riba Percuma Dari Pusat Perhubungan Alumni UPM | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » Naib Canselor UPM Menyantuni Pelajar B40, OKU dan Asnaf Terima Sumbangan Komputer Riba Percuma dari Pusat Perhubungan Alumni UPM

Naib Canselor UPM Menyantuni Pelajar B40, OKU dan Asnaf Terima Sumbangan Komputer Riba Percuma dari Pusat Perhubungan Alumni UPM

Oleh : Suziana Che Wil

Suntingan : Nik Hafzaini Nik Hassan

 

SERDANG – Seramai enam orang pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) termasuk salah seorang daripada mereka adalah pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) telah menerima sumbangan komputer riba secara percuma daripada Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM).

Komputer riba ini adalah sumbangan daripada para alumni UPM menerusi program yang digerakkan oleh Pusat Perhubungan Alumni dengan kerjasama Persatuan Alumni UPM (PAUPM) iaitu Program Putra Cakna Alumni Care: Heart to Heart. Program ini memfokuskan kepada pemberian komputer riba percuma kepada pelajar daripada keluarga B40, asnaf dan juga pelajar OKU yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan komputer riba sendiri.

Dalam arus pendidikan yang kian mencabar, iaitu pembelajaran secara online dan dunia tanpa sempadan, peranti dan data internet adalah dua perkara yang sudah menjadi keutamaan dan penting untuk kelangsungan pelajar. Tambahan dalam era pasca pandemik, peranti dilihat satu perkara asas yang amat penting untuk pelajar.

Melihat kepada kekangan ini, ARCUPM melancarkan gerakan menerusi program yang direka khas demi membantu para pelajarnya yang amat berpotensi tinggi meraih kejayaan agar tidak tercicir. Selain daripada mereka ini terdiri daripada keluarga yang kurang berkemampuan, para pelajar ini adalah pelajar cemerlang daripada pelbagai program pengajian antaranya,  Bacelor Perakauan, Bacelor Sains Biokimia, Bacelor Sains Pembangunan dan juga Bacelor Sastera Bahasa dan Linguistik Melayu dengan Kepujian.

Prof. Dato’ Dr. Roslan Sulaiman menyifatkan program ini adalah satu inisiatif terbaik dalam menyantuni dan membantu pelajar UPM yang memerlukan peranti. Beliau berharap akan lebih ramai lagi alumni UPM khususnya yang kembali ke alma mater untuk terus menyumbang bakti kepada universiti dalam usaha bersama-sama mengekalkan reputasi UPM sebagai Universiti paling lestari di negara ini.

Menurut Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, ini merupakan program yang dirangka secara berterusan.

“Akan ada lagi program ini pada masa akan datang dalam kita bersama-sama menyantuni pelajar UPM yang memerlukan. Program ini tidak terhad kepada pelajar di kampus UPM Serdang sahaja malahan terbuka luas kepada pelajar di kampus UPM, Bintulu. Jadi dalam meneruskan program murni ini, kami di Pusat Perhubungan Alumni mengalu-alukan sumbangan berterusan daripada alumni UPM sejajar dengan seruan dalam Naratif Naib Canselor 2022 iaitu, “Melibatsama Alumni untuk Kelangsungan Universiti”, ujar beliau.

Pelajar yang ditemui juga melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada seluruh alumni UPM atas keprihatinan mereka dengan nasib pelajar yang tidak berkemampuan seperti mereka.

Bagi pelajar OKU Fizikal, Nurdinie Azlan, dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, ternyata rasa sebak dengan sumbangan yang diterimanya itu.

“Selama ini saya hanya bergantung kepada skrin kecil di telefon bimbit ataupun hanya meminjam komputer riba rakan untuk saya menyiapkan tugasan. Amat sukar untuk saya terutama pada tempoh perintah kawalan pergerakan yang lepas. Hari ini saya rasa amat gembira dan terhutang budi dengan seluruh warga UPM kerana membantu kami yang tidak berkemampuan membeli komputer riba sendiri. Saya berjanji menerusi bantuan ini, saya akan terus belajar bersungguh-sungguh hingga berjaya dan saya juga akan kembali sebagai seorang alumni yang turut menyumbang bakti kepada alma mater. Inisiatif yang dilakukan oleh Pusat Perhubungan Alumni ini sebenarnya telah menyuntik semangat kami untuk terus mencipta kejayaan hingga mengharumkan nama Universiti. Sekaligus sumbangan ini membuktikan bahawa kami tidak berseorangan mengharungi saat sukar demi sebuah kejayaan yang kami impikan demi mengubah masa depan kami semua,” ujarnya.

Pada sesi itu juga, Prof. Dato. Dr. Roslan sempat menitipkan kata-kata semangat kepada pelajar ini, bahawa dengan ilmu bukan sahaja mampu mengubah kehidupan tetapi juga mampu menawan dunia. Apabila pada majlis itu juga berlangsungnya penyerahan kembali bendera keramat UPM yang berjaya dikibarkan di puncak tertinggi dunia, Gunung Everest oleh Ravichandran Tharumalingan yang juga merupakan alumni UPM kelas 1990.

Kejayaan julung kali dilakukan oleh alumninya sendiri ini telah tercatat dalam sejarah UPM apabila pada 12 Mei 2022, bendera kebanggan seluruh warga UPM ini telah berkibar megah di puncak Everest. Setelah kembalinya ke tanah air, bendera yang sama telah diserahkan kembali kepada YH. Naib Canselor UPM Prof. Dato’ Dr. Roslan Sulaiman.

 

Tarikh Input: 15/06/2022 | Kemaskini: 13/10/2022 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXETQAU~