MISI UPM DI PUNCAK DUNIA@EVEREST, ALUMNI KIBARKAN BENDERA UPM DI PUNCAK TERTINGGI DUNIA | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » MISI UPM DI PUNCAK DUNIA@EVEREST, ALUMNI KIBARKAN BENDERA UPM DI PUNCAK TERTINGGI DUNIA

MISI UPM DI PUNCAK DUNIA@EVEREST, ALUMNI KIBARKAN BENDERA UPM DI PUNCAK TERTINGGI DUNIA

Oleh : Suziana Che Wil 

Suntingan : Nik Hafzaini Nik Hassan 

SEPANG, 22 MEI – Jika sebelum ini T. Ravichandran telah berjaya menakluk puncak Everest secara solo sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2006 dan 2007, namun pada misi kali ketiga yang telah pun berjaya direalisasikan pada tarikh keramat 12 Mei 2022 membawa cabaran yang berbeza buatnya.

Kali ini selain daripada membawa dua impian pendaki yang berusia 40 dan 64 tahun ke puncak tertinggi dunia itu, Ravichandran juga membawa misi dan harapan seluruh warga dan alumni UPM untuk melihat bendera UPM berkibar megah di puncak tertinggi dunia itu.

Ekspedisi yang bermula pada 25 Mac 2022 yang lalu dan kepulangannya ke Malaysia pada 22 Mei 2022 telah berjaya merealisasikan impian mengibarkan bendera UPM di puncak Everest dan sekaligus melunaskan impian pendaki berusia 64 tahun untuk jejak di puncak Everest.  

Beliau yang merupakan alumni UPM kelas 1990 tiba di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) semalam, telah disambut oleh Timbalan Naib Canselor UPM (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Arifin Abdu, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud, penaja, keluarga, alumni UPM dan juga pelajar UPM.

 

Misi UPM di Puncak Dunia@Everest ini membuktikan semangat juang yang tinggi para alumni kepada alma mater. Menurut Ravi, yang ditemui setibanya di KLIA semalam menjelaskan ini adalah sumbangannya terhadap alma maternya iaitu UPM yang telah banyak berjasa kepadanya. Menurutnya, tanpa spirit dan sokongan daripada seluruh warga UPM dan pengurusan tertinggi Universiti itu, dia tidak berada pada tahap hari ini.

“Alumni dan alma mater perlu sentiasa seiring dalam visi dan misi Universiti. Apa yang saya lakukan hari ini adalah sumbangan saya selaku alumni terhadap alma mater saya. Harapan saya agar semangat ini turut mengalir kepada pelajar semua agar terus berusaha untuk mencapai satu-satu kejayaan. Apa yang pasti kejayaan tidak datang bergolek tetapi kita perlu berusaha dengan satu semangat jitu,” ulasnya.

Bagi, Timbalan Naib Canselor UPM (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof. Dr. Arifin Abdu, usaha yang ditunjukkan oleh Ravichandran membuktikan semangat juang yang tinggi mampu meletakkan nama UPM di persada dunia.

“Ini bukan satu kerja yang mudah, perjalanan untuk sampai ke puncak memerlukan daya saing yang tinggi. Semangat juang ini pasti akan menyuntik rasa ingin kembali berbakti kepada semua alumni yang lain dalam sama-sama membawa nama UPM di puncak dunia. Dan misi UPM di Puncak Dunia@Everest telah berjaya direalisasikan oleh alumni UPM sendiri,” ulas beliau.

Setiap alumni dialu-alukan kembali berbakti kepada alma mater mengikut kepakaran masing-masing. Menerusi aspirasi Naib Canselor UPM YH. Dato’ Prof. Dr. Roslan Sulaiman, aspirasi ke 2, ‘Melahirkan Pelajar Sebagai Sosok Warganegara Yang Baik’, ‘kepulangan’ alumni bersama kepakaran mereka ke alma mater amat dialu-alukan untuk bersama-sama menjayakan visi dan misi Universiti.

Menurut Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud, apa yang dilakukan oleh Ravichandran ini dapat membangkitkan semangat juang yang tinggi ke atas pelajar UPM dalam mencapai kejayaan.

 

“Sumbangan boleh hadir dalam pelbagai cara dan bentuk. Hari ini Ravichandran selaku alumni UPM telah menyuntik jiwa yang kental kepada para pelajar UPM serta menunjukkan satu modal insan yang tinggi ke atas para pelajar. Beliau juga mempamerkan rasa kebersamaan bersama Universiti dalam meletakkan nama UPM di puncak dunia itu bukan perkara yang mustahil jika disertakan dengan semangat dan kemahuan yang tinggi. Menerusi semangat yang tidak pernah luntur untuk kembali menyumbang kepada Universiti, dengan berada pada paras ketinggian lebih 7800 kaki, beliau berjaya kibarkan bendera UPM menerusi Misi UPM di Puncak Dunia@Everest.

“Lebih manis lagi kejayaan beliau ini dilakar pada bulan UPM sedang meraikan Hari Alumni UPM bermula 21 Mei 2022. Apa yang dizahirkan oleh beliau ini akan menjadi penanda aras buat alumni untuk menyumbang dan berbakti semula kepada universiti melalui kepakaran bidang yang tersendiri. Alumni dan alma mater pastinya berpisah tiada dan bersamalah kita menyemarakkan rasa kebersamaan dengan alma mater menerusi slogan #daripadaalumnikepadaUPM.” Akhirinya.

Dalam pada itu, kejayaan menawan puncak Everest untuk kali ini bukanlah terakhir untuk Ravichandran, kerana misi menawan Gunung Everest buat kali keempat pada tahun hadapan akan diteruskan. Kali ini misi pendakian akan dilakukan tanpa menggunakan tong oksigen pula dan persiapan rapi bagi menjayakan misi akan teruskan dilakukan.

Tarikh Input: 25/05/2022 | Kemaskini: 01/06/2022 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXETRAr~