Oleh: Husna Shafiyah binti Hishamuddin
Disunting oleh: Suziana binti Che Wil
SERDANG, 12 Jun – Universiti Putra Malaysia (UPM) berbesar hati menerima kunjungan delegasi daripada Kolej Vokasional Wakaf Tembesu (VocKAF), Kuala Terengganu ke Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, UPM dalam satu lawatan yang bertujuan memperkukuh hubungan akademik serta jaringan profesional antara kedua-dua institusi.
Ketibaan delegasi telah disambut mesra oleh Puan Noraihan Noordin, Ketua Penolong Pendaftar Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, yang turut berkongsi maklumat mengenai program akademik serta kemudahan yang terdapat di fakulti tersebut.

Dalam lawatan berkenaan, Pusat Perhubungan Alumni UPM turut mengambil kesempatan untuk menyantuni lima orang alumni UPM yang kini berkhidmat sebagai pendidik di Kolej Vokasional Wakaf Tembesu. Pertemuan ini menjadi platform bermakna dalam mengeratkan hubungan antara alumni dan alma mater, selain mengimbau kembali kenangan serta pengalaman mereka sepanjang menuntut di UPM sebelum menyumbang bakti dalam bidang pendidikan.
Antara alumni yang hadir ialah Encik Aziz Bin Ali dari Fakulti Pertanian, Puan Faizah Salleh dari Fakulti Sains, Puan Eliyawat Saydi dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, serta Puan Norsyuhada Mohd Safee dan Puan Juliana Jamaludin dari Fakulti Pengajian Pendidikan.

Pusat Perhubungan Alumni UPM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kunjungan tersebut serta komitmen para alumni yang terus mengharumkan nama universiti melalui peranan mereka dalam melahirkan generasi masa hadapan yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing. Diharapkan hubungan erat antara alumni dan universiti akan terus diperkukuh demi mewujudkan lebih banyak peluang kerjasama yang bermanfaat pada masa hadapan.
Tarikh Input: 15/06/2026 | Kemaskini: 15/06/2026 | suziana.wil

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor