Oleh: Husna Shafiyah binti Hishamuddin
Disunting oleh: Suziana binti Che Wil
SERDANG, 20 Jun – Majlis Perasmian Pelancaran Sambutan Lima Dekad Keunggulan Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI) atau Legasi 50 telah berlangsung dengan jayanya di Dataran Melur, KTDI, sekali gus menandakan permulaan sambutan istimewa sempena 50 tahun kecemerlangan dan sumbangan kolej tersebut kepada Universiti Putra Malaysia (UPM).
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) merangkap Wakil Alumni, YBrs. Encik Mohamad Sabrie Mohamad Salleh. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengetua KTDI, YBhg. Prof. Madya Dr. Nurul Hayah Khairuddin; Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, YBrs. Encik Fahmi Azar Mistar; Presiden Persatuan Alumni UPM, YBrs. Encik Norashedy Ab. Rashid; serta Naib Presiden II Majlis Perwakilan Kolej KTDI Sesi 2025/2026, Saudara Mohamad Amirul Ashraf Mohd. Jemy.
Salah satu keistimewaan program ini ialah kejayaannya menghimpunkan bekas penghuni dan alumni KTDI daripada pelbagai generasi, bermula daripada antara kumpulan terawal yang pernah menetap di kolej tersebut sehinggalah kepada graduan yang lebih muda. Kehadiran alumni merentasi generasi ini mencerminkan ikatan yang kukuh serta semangat kekitaan yang terus mekar dalam kalangan warga KTDI, walaupun masing-masing telah menempuh haluan kehidupan dan kerjaya yang berbeza.
Penganjuran Legasi 50 diadakan bersempena sambutan Jubli Emas KTDI, Hari Alumni UPM 2026 serta sebagai sebahagian daripada pengisian Bulan Sinergi Putra 2026 yang diraikan sepanjang bulan Jun. Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan meraikan sejarah dan pencapaian KTDI, malah menjadi platform untuk memperkukuh hubungan antara alumni, pelajar dan warga universiti.

Bagi menyemarakkan lagi sambutan, majlis turut diserikan dengan penganjuran Forum Jejak Tokoh yang menampilkan tokoh-tokoh alumni UPM dan KTDI yang telah mencipta kecemerlangan dalam pelbagai bidang pada era masing-masing.
Forum tersebut dikendalikan oleh Encik Tarmizi Anuwar, mantan Timbalan Presiden Majlis Tertinggi Mahasiswa KTDI sesi 2010–2011. Antara panel jemputan ialah YBhg. Dato’ Dr. Idris Abdol, mantan Pengetua KTDI (1990–1999) yang juga pernah berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM dari tahun 2000 hingga 2003. Turut menjadi panel ialah Encik Airulmi Mokhtar, mantan Presiden Ahli Jawatankuasa Kolej (AJKT) KTDI pada tahun 2000.

Sepanjang forum berlangsung, para panel berkongsi pengalaman, cabaran, nilai kepimpinan dan inspirasi yang telah membentuk perjalanan hidup serta kerjaya mereka. Perkongsian tersebut memberi panduan yang bermakna kepada para pelajar dan alumni muda, di samping mengimbau nostalgia kehidupan kampus dalam kalangan bekas penghuni KTDI yang hadir.
Pusat Perhubungan Alumni UPM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua pihak yang telah menjayakan penganjuran Legasi 50 KTDI. Sambutan ini bukan sahaja meraikan sejarah gemilang kolej tersebut, malah memperkukuh semangat “Alumni UPM Berilmu dan Berbakti” serta mengeratkan hubungan antara alumni, pelajar dan warga universiti.

Ketika KTDI melangkah ke usia 50 tahun, Legasi 50 menjadi simbol kepada legasi kecemerlangan yang telah dibina oleh generasi demi generasi. Lebih penting lagi, sambutan ini membuktikan bahawa nilai, persahabatan dan kenangan yang terbina di KTDI akan terus menjadi pengikat yang menyatukan seluruh warga kolej, tanpa mengira generasi.
Tarikh Input: 22/06/2026 | Kemaskini: 22/06/2026 | suziana.wil

Aras Bawah
Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi)
Universiti Putra Malaysia
Off Lebuh Silikon
43400 UPM Serdang, Selangor