Forum Peranan Alumni Dalam Membantu Penjanaan Dan Pendanaan Alma Mater Ruang Gembleng Idea Baru Untuk Kelangsungan Universiti | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » Forum Peranan Alumni Dalam Membantu Penjanaan dan Pendanaan Alma Mater ruang gembleng idea baru untuk kelangsungan universiti

Forum Peranan Alumni Dalam Membantu Penjanaan dan Pendanaan Alma Mater ruang gembleng idea baru untuk kelangsungan universiti

Oleh : Suziana Che Wil

Suntingan : Nik Hafzaini Nik Hassan

SERDANG, 18 Julai – Sempena sambutan ulang tahun Majlis Alumni Universiti Awam Malaysia pada 18 Julai 2022 yang lalu, forum mengenai Peranan Alumni Dalam Membantu Penjanaan dan Pendanaan Alma Mater telah diadakan secara dalam talian menerusi aplikasi zoom.

Perbincangan yang lebih menjurus kepada peranan yang harus dan perlu dimainkan oleh para alumni dalam membantu kelangsungan universiti sememangnya satu topik yang perlu diperhalusi kerana alumni merupakan pemegang taruh terbesar kepada sesebuah universiti.

Setiap tahun anggaran graduan untuk peringkat pengajian sarjana muda yang menerima ijazah masing-masing sekitar 68,000 orang. Jumlah yang ramai ini, jika kesemuanya kembali menyumbang bakti kepada universiti masing-masing, alumni universiti awam di Malaysia standing dengan alumni universiti terkenal di luar negara, contohnya alumni Universiti Harvard yang mana para alumninya tidak pernah meninggalkan alma mater mereka dan kembali sebagai alumni yang terus menyumbang kepada alma mater.

Forum yang membincang peranan alumni dalam penjanaan dan pendanaan kali ini dibarisi oleh barisan panel yang hebat seperti YBhg. Prof. Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif, Timbalan Naib Canselor (HEPA) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), YBhg. Dato’ Dr. Shakir Husein Khalid, Naib Presiden Perstauan Alumni Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA), YBrs. Dr. Razali Othman, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Tabung Endowmen Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan YBrs. Encik Mohd Hariri Mohamad Daud, Ahli Lembaga Pengarah (Alumni) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) selaku moderator.

Forum yang ditonton oleh para alumni dan pelajar universiti di Malaysia itu, telah mengupas cara dan strategi yang harus digunakan untuk melahirkan graduan yang akhirnya menjadi alumni yang kembali berbakti kepada universiti.

Ahli panel kedua iaitu Dato, Dr. Shakir Husein melontarkan idea bahawa dari awal perlu diterapkan kepada para pelajar yang mendaftar masuk ke universiti bahawa itu adalah momen paling indah dan penting dalam perjalanan kehidupan mereka.

“Pada hari pertama mereka melangkah kaki ke universiti, kesedaran bahawa satu hari nanti mereka akan menjadi alumni dan mempunyai peranan untuk kembali menyumbang kepada alma mater. Cabarannya agak besar, tetapi apabila fasa ini berjaya dilakukan empat ke lima tahun pelajar ini menimba ilmu di universiti, hubungannya dengan alma mater tidak akan terputus pada hari terakhir pengajian mereka. Kesedaran yang telah diterapkan oleh universiti bahawa tanggungjawab kepada universiti dan generasi selepas mereka akan membuatkan mereka kembali ke alma mater.

Alumni perlu diberikan sokongan bahawa sumbangan mereka itu adalah untuk anak, saudara mara dan yang penting untuk anak bangsa mereka sendiri yang akan ke menara gading dan menuntut ilmu. Perlu yakinkan kepada mereka bahawa dengan apa yang mereka beri pada hari ini di dunia ini, hasil tuaiannya di akhirat kelak,” ujarnya.

Manakala tambah Prof. Madya Datuk Dr. Sabri, alumni itu sendiri perlu tanyakan kepada diri sendiri, cukupkah apa yang diberikan selama kepada alma mater yang banyak mengubah kehidupan mereka selama ini.

“Dengan platform yang ada hari ini iaitu dengan penubuhan Majlis Alumni dan sokongan daripada Jabatan Pendidikan Tinggi sudah tidak masanya untuk para alumni melangkah setapak lagi kehadapan untuk terus memperkasakan alumni ke peringkat yang lebih jauh lagi. Jika setiap seorang alumni hanya menyumbang RM1,000 sepanjang hayatnya dan dikira dengan 100,000 ribu alumni yang ada, institusi sudah mempunyai dana kurang lebih 100 juta. Dengan jumlah ini, pelajar asnaf dan B40 mungkin lebih ramai yang dapat dibantu dan peratusan rakyat Malaysia yang mempunyai taraf Pendidikan tinggi lebih ramai kerana golongan yang tidak mampu tidak akan tercicir lagi.

Untuk hasilkan jumlah dana yang besar ini, satu perkara yang perlu diwujudkan ialah rasa ‘belonging’ dalam diri alumni ke atas alma mater masing-masing harus ada. Rasa kesepunyaan ini akan membuatkan raa untuk kembali menyumbang kepada alma mater bukan satu perkara yang berat tetapi sudah menjadi satu tanggungjawab dan amanah,” ulas beliau.

Pelbagai idea dan buah fikir dilontarkan sepanjang satu jam 30 minit forum berlangsung. Bagi Ketua Teras Pemerkasaan Alumni, Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud pula berpendapat program ini merupakan satu program yang sangat berinformatif serta memberikan ruang fikir yang dapat melonjakkan alumni pada landasan yang lebih bermakna.

Beliau yang juga Pengarah Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia, menyifatkan kebersamaan alumni bersama alma mater bukan tanggungjawab individu tetapi tanggungjawab semua alumni yang telah banyak mengambil manfaat daripada universiti terhadap kejayaan mereka. Kini tiba masanya alumni kembali dan menyumbang bakti bukan untuk sesiapa tetapi untuk generasi sendiri yang juga akan melalui perjalanan yang sama untuk mencipta kejayaan .

 

 

Tarikh Input: 31/07/2022 | Kemaskini: 14/10/2022 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXEUMA6~