Daripada Alumni Kepada UPM; YAB, Dato’ Seri Amiruddin Menyerahkan Biasiswa Menteri Besar Selangor Kepada Pelajar UPM | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » Daripada Alumni Kepada UPM; YAB, Dato’ Seri Amiruddin Menyerahkan Biasiswa Menteri Besar Selangor kepada Pelajar UPM

Daripada Alumni Kepada UPM; YAB, Dato’ Seri Amiruddin Menyerahkan Biasiswa Menteri Besar Selangor kepada Pelajar UPM

Oleh : Suziana Che Wil

Suntingan : Nik Hafzaini Nik Hassan

 

SHAH ALAM, 11 Mei – YAB Dato’ Seri Amiruddin Shari, Menteri Besar Selangor yang juga merupakan Alumni UPM Kelas 2002 hari ini telah kembali menyumbang kepada alma maternya apabila menaja seorang pelajar peringkat diploma dengan nilai tajaan sebanyak RM15,000 iaitu hingga tamat pengajian.

Nur Fakhirah Zulfikar Ali yang kini mengikuti pengajian dalam Jurusan Diploma Kesihatan Haiwan dan Penternakan di Kampus UPM Bintulu, antara pelajar bertuah yang menerima penajaan daripada Menteri Besar Selangor. Majlis penyerahan dan temu mesra bersama pelajar tajaan telahpun berlangsung di Pejabat Menteri Besar pada tengahari  semalam.

Selain Saudari Nur Fakhirah, tiga lagi pelajar juga dari Kampus Bintulu turut menerima sumbangan RM 1,000 secara ‘one off’ daripada pihak Menteri Besar Selangor. Mereka ialah Muhammad Khairin Danish Mohd Khairani pelajar Diploma Pengurusan Perladangan dan Makanan, Nur Aziera Asri, Diploma Pengurusan dan Perladangan dan Nur Zahirah Mohd Najmudin, Diploma Pengurusan Tani.

Berkata pada majlis penyerahan biasiswa dan temu mesra itu, YAB, Dato’ Seri mengharapkan sumbangan dan tajaan biasiswa yang diberikan itu dapat meringankan beban keluarga dan seterusnya dapat membantu pelajar terutama mereka daripada keluarga B40 meneruskan pengajian hingga berjaya.

“Ini juga antara tanggungjawab yang kami selaku alumni UPM kembali membantu alma mater dengan mengambil cakna terhadap keperluan pelajar-pelajar di UPM menggapai kejayaan. Ini selari dengan kecemerlangan yang ditunjukkan oleh UPM pada hari ini yang kini dari semasa ke semasa sedang mendaki kejayaan apabila UPM disenaraikan sebagai Universiti terbaik bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di luar negara.

Kejayaan ini terbukti apabila UPM dalam penarafan oleh QS World University Rangkings 2022, UPM berada pada kedudukan ke 143 terbaik dunia dan kedua terbaik di Malaysia. Dengan teras pengajian bidang pertanian, UPM hari ini dilihat sebuah Universiti yang begitu kondusif dalam menuntut ilmu bukan sahaja dalam bidang pertanian tetapi juga bidang-bidang kepakaran lain mengikut kepada peredaran tuntut semasa.

UPM juga bertuah kerana Duli Yang Maha Mulia, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, selaku Canselor UPM turut mengambil berat dan prihatin dengan keperluan dalam mempertingkatkan mutu pendidikan terutamanya di Selangor. Baginda juga sering mengingatkan kepada para alumni terutamanya alumni UPM yang jika dalam perkiraan jumlah alumni UPM kini hampir mencecah 300,00 orang agar kembali menyumbang kepada alma mater dalam apa juga bentuk sumbangan demi bersama-sama membangunkan mutu pendidikan tinggi yang akhirnya nanti akan melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang berkualiti tinggi dan berdaya saing untuk pembangunan negara.

Apa yang diharapkan daripada sumbangan biasiswa ini agar dapat memberi suntikan semangat kepada pelajar untuk berjaya dan seterusnya mereka juga akan menjadi alumni yang kembali berbakti kepada alma mater,” katanya.

Manakala bagi Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud, kembalinya alumni kepada alma mater ini banyak merubah senario pengajian tinggi hari ini. Keterlibatan alumni dalam menjayakan visi dan misi Universiti ibarat kata ‘ringan sama dijinjing dan berat sama dipikul’ dalam melahirkan graduan yang berkualiti tinggi dan berdaya saing.

“Alumni yang kembali menyumbang ini telah menyahut seruan yang diuar-uarkan oleh Naib Canselor UPM, YH. Dato. Prof. Dr. Roslan Sulaiman dalam Naratif Naib Canselor 2022 iaitu mahu ‘Melibatsama Alumni Untuk Kelangsungan Universiti’. Dengan slogan Daripada Alumni kepada UPM telah banyak menyuntik semangat kebersamaan alumni dalam pelbagai keperluan dan program yang dianjurkan oleh Universiti. Kebersamaan alumni hari ini, boleh memberi teladan kepda pelajar untuk mereka juga melakukan perkara yang sama apabila bergraduat dan berjaya kelak. Jadi, kesinambungan untuk kembali berbakti kepada alma mater tidak akan terputus saat mereka menerima segulung ijazah pada hari terakhir berada di Universiti. Kelangsungan hubungan itu yang diharapkan untuk bersama-sama membangunkan alma mater tercinta,” akhirinya.

Tarikh Input: 17/05/2022 | Kemaskini: 22/06/2022 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXEZNAp~