Chapter Alumni Astaka Seni Jadi Platform Untuk Para Alumni Seni Kembali Menyumbang Kepada Alma Mater | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » Chapter Alumni Astaka Seni Jadi Platform Untuk Para Alumni Seni Kembali Menyumbang Kepada Alma Mater

Chapter Alumni Astaka Seni Jadi Platform Untuk Para Alumni Seni Kembali Menyumbang Kepada Alma Mater

Oleh : Suziana Che Wil

Suntingan : Nik Hafzaini Nik Hassan

 

SERDANG – Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (ARCUPM) terus komited membawa alumni UPM daripada pelbagai bidang untuk kembali menyumbang bakti kepada alma mater. Antara cara yang digunapakai adalah dengan penubuhan chapter untuk menjadi platform kepada alumni memberikan sumbangan. Menerusi Program Menggamit Seribu Kenangan: Alumni Reunion (MEKAR) Siri 8.0 telah membawa kepada penubuhan Chapter Astaka Seni.

ARCUPM dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal pelajar, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi serta Pusat Kebudayaan & Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) telah berjaya membawa pulang alumni di bawah Chapter Astaka Seni. Perasaan ingin kembali menyumbang dan membalas budi kepada sebuah menara ilmu yang banyak mengubah masa depan setiap pelajarnya telah membawa kepada penubuhan chapter ini yang akan menjadi medan kepada para alumni seni untuk menyumbang bakti kepada alma mater dan juga pelajar UPM yang memerlukan.

 

Penubuhan Chapter Astaka Seni yang berlangsung di Laman Warisan, Muzium Warisan Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi telah disempurnakan oleh Ybhg. Prof. Dato’ Dr. Mua’ti @ Zamri Ahmad, Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM. Turut hadir, Pengarah ARCUP, Ybhg. Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud, Timbalan Pengara ARCUPM, En Fahmi Azar Mistar dan juga Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Encik Nuruliman Ibrahim.

Prof. Dato’ Dr. Mua’ti dalam ucapannya merakamkan dan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan khususnya kepada alumni Chapter Astaka Seni yang kini kembali ke alma mater untuk bersama-sama dengan univerisiti dalam menjayakan misi dan visi universiti. Beliau juga mengharapkan lebih ramai lagi alumni bukan sahaja dalam Chapter Astaka Seni, malahan alumni daripada bidang dan fakulti lain turut melakukan perkara yang sama untuk bersama-sama menyahut seruan YH. Naib Canselor UPM, Prof. Dato’ Dr. Roslan Sulaiman iaitu untuk ‘Melibatsama Alumni untuk Kelangsungan Universiti’.

“Jika kita melihat universiti ternama di luar negara, alumninya juga tidak pernah meninggalkan alma mater mereka. Perkongsian ilmu dan kepakaran adalah elemen utama yang diperlukan untuk sama-sama kita membangunkan insaniah pelajar hari ini yang cukup mencabar. Saya juga terharu dan bangga melihat ARCUPM dan Persatuan Alumni yang begitu berdedikasi dalam mencari dana untuk dijadikan sumbangan biasiswa kepada para pelajar UPM khususnya kepada pelajar daripada keluarga B40, asnaf dan juga pelajar OKU.

“Sumbang bakti boleh diberikan dalam pelbagai bentuk untuk menzahirkan tanda balas budi dan ucapan terima kasih kepada alma mater yang tekah banyak berbakti selama ini. Pastinya sumbangan kecil ini mampu menjadi pendorong semangat terbesar untuk para pelajar mengejar kejayaan dan suatu hari nanti mereka juga akan kembali sebagai seorang alumni yang membantu alma maternya. Kitaran dan pusingan tanpa henti inilah yang diharapkan untuk terus merancakkan pencapaian dan kejayaan sebuah universiti ulung,” ujar beliau.

Selepas perasmian Chapter Astaka Seni, untuk lebih memaknakan lagi program ini, para alumni dibawa melawat Muzium Warisan Melayu dan ini adalah satu-satunya muzium yang berada dalam sebuah universiti. Unik dan memberi seribu nostalgia kepada seluruh alumninya.

Tarikh Input: 27/06/2022 | Kemaskini: 28/06/2022 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXEUKAf~