Bengkel Siri 2 Dan 3, Beri Suntikan Ilmu Bergelar Usahawan Tani Kepada Para Peserta Projek MegaChilli 2021 | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » Bengkel Siri 2 dan 3, Beri Suntikan Ilmu bergelar Usahawan Tani Kepada Para Peserta Projek MegaChilli 2021

Bengkel Siri 2 dan 3, Beri Suntikan Ilmu bergelar Usahawan Tani Kepada Para Peserta Projek MegaChilli 2021

Oleh : Suziana Che Wil

Suntingan : Nik Hafzaini Nik Hassan

Tarikh : 5 Julai 2021

 

SERDANG – Bengkel Projek Megachilli 2021, diteruskan lagi dengan siri kedua dan ketiga yang telah disampaikan oleh mentor alumni, Kamarulridhzuan Razali (Kelas Alumni 2018). Mentor alumni kali ini merupakan seorang Agronomis yang sedang mencipta kejayaan dalam bidang penanaman mega dalam pelbagai jenis tanaman, salah satunya adalah penanaman cili di beberapa kawasan ladang pertanian antaranya di Selangor, Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan juga Melaka.

Pada bengkel kedua, beliau telah berkongsi ilmu dengan membawa tajuk perbincangan  ‘Biji Benih dan Cara Penanaman’ manakala pada bengkel ketiga yang berlangsung pada 4 Julai 2021 lepas beliau telah berkongsi mengenai ‘Cara Penjagaan Tanaman dan Penuaian’.  Kedua-dua bengkel ini dijalankan secara dalam talian dengan penglibatan peserta Projek MegaChilli 2021 secara keseluruhannya.

Pada bengkel ketiga baru-baru ini, Agronomis Kamarul telah berkongsi tip serta input bagaimana untuk bekerja diladang dengan ilmu yang tinggi untuk mengurangkan menanggung kerugian yang besar. Menurutnya, bidang pertanian fertagasi ini adalah satu bidang yang sangat menarik dan boleh membawa pulangan yang lumayan andainya dijalankan dengan cara yang teratur dan bersistematik.

“Sebelum menuai hasilnya, jangan takut untuk jatuh. Bidang ini sangat mencabar tetapi sebagai mahasiswa UPM dengan moto ‘berilmu dan berbakti’ terutamanya graduan pertanian, jatuh bangun dalam bidang ini adalah langkah pertama untuk bergelar usahawan yang berjaya. Jika ceburi bidang ini dengan hasrat untuk bergelar usahawan perlu fikirkan mengenai kos dan profit. Jika melibatkan kos dan profit, ini adalah satu kerjaya yang mencabar dan perlu dilakukan dengan penuh tekun dan gunakan segala ilmu yang dipelajari di universiti pada tahap yang maksima,” ujarnya.

Fertagasi bidang yang seronok

Pada bengkel itu juga, para peserta didedahkan dengan ilmu untuk mengenalpasti baja, cara yang betul untuk mengendali penanaman cili di dalam bag plastik sebelum ianya dipindahkan ke dalam kawasan ladang yang sebenar.

Menerusi bengkel ini juga , Kamarul mengingatkan para peserta supaya bersedia mental dan fizikal serta cukup ilmu pengetahuan sebelum memulakan penanaman. Ilmu dari segi pemilihan anak benih, jenis tanah, sistem pengairan dan pengudaraan, jenis-jenis serangga, jenis baja dan perubahan pada setiap tanaman perlu diambil kira.

“Tidak salah untuk memulakan dengan penanaman yang berskala kecil dahulu untuk menimba pengalaman. Sebagai contoh boleh mulakan dengan penanaman 30 pokok cili dahulu sebelum pergi kepada angka yang lebih besar seperti 500 hingga 1000 anak pokok. Pastinya penjagaan anak pokok yang berskala kecil tidak sama dengan yang berskala besar. Tetapi sekurang-kurangnya ilmu itu sudah ada,” ujarnya.

Para peserta juga didedahkan bukan sahaja dari segi pemilihan anak benih yang baik, turut ditekankan mengenai pemilihan polibag yang sesuai mengikut jenis tanaman.

Jika tanaman jenis cili, polibag bersize 12x12, 14x14 dan 16x16 sangat sesuai digunakan. Penggunaan size polibag yang sesuai akan merangsang pembiakan sistem akar yang baik dan seterusnya akan dapat menstabilkan pokok cili dengan cepat. Manakala pemilihan size polibag yang salah, akan memberi kesan kepada sistem akar yang mana akarnya akan mudah terbantut dan seterusnya memberi kesan kepada pembesaran pokok tanaman.  

Polibag ini pula mempunyai tiga warna berbeza iaitu hitam, putih serta hitam dan putih. Kebiasaan digunakan untuk tujuan penanaman secara komersial adalah polibag berwarna hitam kerana lebih tahan lama antara dua hingga tiga tahun.

Sesi yang berlangsung selama satu jam itu, dimanfaat sepenuhnya apabila pada penghujung bengkel para peserta rancak mengajukan soalan kepada panel untuk lebih memahami intipati yang dibincangkan. Rata-rata menganggap bengkel yang bersiaran selama satu jam itu sangat memberi manfaat kepada mereka sebelum turun ke lapangan untuk Projek MegaChilli 2021.

Bengkel seterusnya akan menyusul dengan tajuk perbincangan yang lebih menarik dan mentor alumni yang dijemput sebagai panel juga pastinya mempunyai ilmu dan pengalaman yang luas dalam bidang masing-masing untuk sama-sama membantu para peserta menjayakan Projek MegaChilli 2021.

Pusat Perhubungan Alumni UPM menerusi Sekyen Jaringan Industri dan Geran Alumni akan sentiasa menyediakan jaringan yang kondusif untuk mempastikan setiap program yang dijalankan mencapai objektif serta sasaran yang ditetapkan oleh pihak universiti.

Tarikh Input: 11/07/2021 | Kemaskini: 30/09/2021 | alif.isnain

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXDdEAM~