ALUMNI UPM KEMBALI DALAM MEKAR LEBARAN UPM DULU DULU DENGAN SUMBANGAN BESAR UNTUK KELANGSUNGAN PELAJAR | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » ALUMNI UPM KEMBALI DALAM MEKAR LEBARAN UPM DULU DULU DENGAN SUMBANGAN BESAR UNTUK KELANGSUNGAN PELAJAR

ALUMNI UPM KEMBALI DALAM MEKAR LEBARAN UPM DULU DULU DENGAN SUMBANGAN BESAR UNTUK KELANGSUNGAN PELAJAR

Oleh : Suziana Che Wil

 

SERDANG – Program menggamit Kenangan Alumni Reunion atau singkatannya MEKAR dengan kerjasama laman facebook UPM Dulu Dulu telah menganjurkan satu majlis santai hi-tea di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz UPM pada 20 Mei 2023 yang lalu.

Kehadiran alumni UPM seramai hampir 800 orang menjadikan majlis santai ini tidak ubah seperti sebuah rumah terbuka yang meraikan ‘kepulangan’ alumni kepada ‘rumah’ mereka setelah sekian lama ditinggalkan.

Ada kalangan mereka yang sudah hampir 20 tahun tidak berjumpa tetapi dalam penganjuran MEKAR yang sudah memasuki siri ke 13 ini, telah menemukan mereka. Penganjuran MEKAR UPM Dulu Dulu ini juga sebagai salah satu acara kemuncak kepada Sambutan Hari Alumni UPM 21 Mei yang disambut saban tahun. Tarikh 21 Mei yang telah digazetkan sebagai Hari Alumni UPM sebelum ini telah menganjurkan pelbagai aktiviti dan program yang dalam usaha untuk membawa alumni kembali ke alma mater dan seterusnya menyumbang bakti kepada pembangunan, kelangsungan dan perkongsian pintar bersama Universiti dan juga pelajar.

 

Dengan kekuatan alumni yang ramai yang telah berjaya dalam pelbagai bidang terutama bidang pertanian, UPM mahu mempelopori kejayaan sebagai sebuah universiti awam di Malaysia yang memaksimakan penglibatan para alumninya dalam membawa visi dan misi Universiti untuk menjadi sebuah Universiti bertaraf antarabangsa.

Rentetan penganjuran kepada MEKAR UPM Dulu Dulu bermula apabila pentadbir laman facebook UPM Dulu Dulu mengutarakan idea kepada Pusat Perhubungan Alumni UPM mengenai hasrat dan objektif mereka, Bagi Encik Shahrudin Mahadi, kini sudah tiba alumni UPM Bersatu hati, Bersatu jiwa menyahut seruan dan amanat daripada YBhg Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr Roslan Sulaiman dalam Naratif Baib Canselor 2023 iaitu ‘Menyatu Kekuatan Alumni’ dan natijahnya dalam program MEKAR UPM Dulu Dulu baru-baru ini, sumbangan berjumlah RM 50, 000 telah diserahkan kepada Naib Canselor UPM.

Sumbangan ini sebahagiannya akan digunakan untuk merealisasikan projek pembinaan Rumah Kasih Alumni@BPP. Rumah kasih ini merupakan projek penginapan untuk para pelajar UPM. Kemudahan penginapan yang percuma dan lebih selesa akan diwujudkan dengan hasil sumbangan daripada alumni UPM itu sendiri. Projek murni ini adalah dalam usaha untuk membantu memberi keselesaan kepada para pelajar dalam usaha mereka memburu kejayaan yang secara langsung akan mengangkat martabat bangsa, negara dan Universiti.

 

Menurut Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Prof. Madya Dr Arba’ie Sujud, usaha yang dibawakan oleh alumni ini adalah satu usaha yang murni dan perlu diteruskan pada masa akan datang demi melibatsama peranan alumni dalam kelangsungan Universiti.

“Usaha yang dipelopori oleh pentadbir laman facebook UPM Dulu Dulu, Encik Shahrudin Mahadi ini telah menampakkan keberhasilan dan objektif penganjurannya telah berjaya dicapai. ‘Kepulangan’ alumni ini bukan sekadar mahu bertemu mata dengan rakan-rakan lama yang hampir 20 ke 30 tahun tidak berjumpa, tetapi amanah yang mereka bawa itu yang menjadi kemenjadian program ini begitu bermakna iaitu dengan membawa sumbangan yang besar untuk kelangsungan pelajar, ternyata para alumni UPM telah memainkan peranan yang cukup besar.

Turut hadir sebagai tanda sokongan kepada usaha murni para alumni ini ialah Naib Canselor UPM YBhg. Dato’ Prof. Dr. Roslan Sulaiman, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM YBhg, Prof. Dr. Arifin Abdu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Ismi Arif Ismail, Tokoh Alumni yang amat disegani dan dihormati Yang Amat Mulia Dato’ Seri Diraja Syed Razlan ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, dan Presiden Persatuan Alumni UPM, Dato’ Raihan Sharif .

 

Tarikh Input: 29/05/2023 | Kemaskini: 03/07/2023 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXDdRA1~