ALUMNI UPM CHAPTER BORNEO BUKTI SEMANGAT KEKITAAN MEMBAWA ALMA MATER KE MERCU KEJAYAAN | Pusat Perhubungan Alumni
» BERITA » ALUMNI UPM CHAPTER BORNEO BUKTI SEMANGAT KEKITAAN MEMBAWA ALMA MATER KE MERCU KEJAYAAN

ALUMNI UPM CHAPTER BORNEO BUKTI SEMANGAT KEKITAAN MEMBAWA ALMA MATER KE MERCU KEJAYAAN

 

Oleh : Suziana Che Wil

Suntingan : Nik Hafzaini Nik Hassan

 

BINTULU, 2 Nov – Bersempena Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia kali ke-46 Sidang 1, di Kampus Bintulu telah berlangsung satu majlis ibarat sirih pulang ke gagang iaitu Majlis Mesra Alumni UPM Chapter Borneo. Majlis yang menghimpunkan para alumni daripada Borneo iaitu alumni UPMKB, Alumni Chapter Sarawak, Alumni Chapter Semenggok, Persatuan Alumni UPM Sabah dan Chpater Alumni Sabah. Perjumpaan ini adalah julung kalinya diadakan dan perjumpaan ini telah membentuk satu rasa kebersamaan yang tinggi dalam menyumbang kembali keapda alma mater terutamanya untuk pelajar-pelajar di UPM Kampus Bintulu. Lebih istimewa lagi majlis ini juga membawa kepada pertemuan para alumni ini bersama alumni lagenda UPM Borneo iaitu Alumni UPM Chapter Semenggok (UPMCS). Alumni UPMCS ini adalah ‘senior’ UPM Borneo sebelum UPM berpindah ke Bintulu pada tahun 1987.

Menurut Ketua Penyelaras Chapter Alumni UPM Kampus Bintulu, Encik Azuan Omar, majlis ini merupakan langkah pertama yang akan membuka langkah-langkah kebersamaan pada masa akan datang. Ini adalah satu permulaan untuk para alumni Chapter Borneo kembali menyumbang kepada alma mater.

“Majlis ini merupakan platform yang terbaik kepada kami, alumni-alumni UPMKB, Sabah dan Sarawak untuk berhubung semula dengan pihak universiti. Saya kategorikan begini kerana, ada dalam kalangan alumni UPMKB adalah orang semenanjung, dan ada dalam kalangan Alumni UPM Kampus Serdang adalah orang Sabah dan Sarawak. Pada hari ini sahaja kami terdiri daripada lima kumpulan yang berbeza mengikut lokaliti asal usul dan tempat bergraduat. Sungguhpun begitu, pelbagai wakil kumpulan alumni yang disatukan dalam majlis ini mempunyai satu ciri yang sama iaitu Borneo Malaysia,” ujar beliau.

 

Para alumni ini mengharapkan ini adalah titik mula kepada para alumni dari Borneo untuk terus merancang dan mengadakan pelbagai lagi aktiviti yang terus menyemarakkan peranan alumni dalam mendokong visi dan misi Universiti.

Pada Majlis Mesra Alumni UPM Chapter Borneo ini juga Alumni Sabah dan Sarawak telah menyerahkan sumbangan yang disampaikan oleh YBhg. Prof. Dr. Arifin Abdu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni kepada Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar Pelajar UPMKB YBrs. Dr. Kamil Latif. Sumbangan ini adalah untuk kelestarian kebajikan pelajar-pelajar UPMKB yang memerlukan. Turut disampaikan, sumbangan daripada Alumni MPPUPM kepada MPPUPM Kampus Bintulu bagi pemerkasaan program-program di bawah MPPUPM Kampus Bintulu.

Kali ini juga mencatatkan sejarah tersendiri apabila UPM mengadakan Sidang Pertama Majlis Konvokesyen di UPMKB. Keberangkatan hadir Tuanku Canselor, Duli Yang Maha Mulia, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj memberi satu cerminan semangat kekitaan yang tinggi antara Borneo dan Semanjung.

Turut hadir ialah Naib Canselor UPM YH. Dato’ Prof. Dr. Roslan Sulaiman, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Ybhg. Prof. Dr. Arifin Abdu dan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, YBhg. Prof. Madya Dr. A’ba'ie Sujud dan para pegawai kanan dari UPM Kampus Serdang.

Memetik amanat YH. Dato’ Naib Canselor UPM bahawa Program Jejak Alumni dan kerjasama antara chapter alumni perlu lebih diaktifkan dan digabungjalinkan untuk kemaslahatan seluruh warga UPM terutamanya pelajar. Sekiranya usaha ini digembleng secara bersepadu, hasrat untuk menjadikan UPM sebagai menara ilmu yang menawarkan perkhidmatan kepada masyarakat menerusi khidmat komuniti dan jaringan industri menerusi sumbangan para alumni akan lebih menyerlah bersandarkan semangat ‘Sederap Melangkah Menuju al-Falah’.  

 

 

 

Tarikh Input: 17/11/2022 | Kemaskini: 23/12/2022 | suziana.wil

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BXDdUAl~