19-23 Mac 2019: 4 Agensi 83 Alumni Berjaya Di Jejak Di Sekitar Kota Kinabalu | Pusat Alumni
» BERITA » 19-23 Mac 2019: 4 agensi 83 alumni berjaya di jejak di sekitar Kota Kinabalu

19-23 Mac 2019: 4 agensi 83 alumni berjaya di jejak di sekitar Kota Kinabalu

Kota Kinabalu, 19-23 Mac 2019 - Dalam usaha memantapkan dan memperluaskan jaringan alumni Universiti Putra Malaysia, Pusat Alumni UPM (ACUPM) sentiasa komited dalam merencana dan melaksanakan pelbagai aktiviti serta program yang melibatkan alumni bagi mengekalkan jalinan hubungan sepanjang hayat yang konsisten di antara Alumni dan Alma mater. Sebagai sebuah Pusat Tanggungjawab yang berperanan dalam menggerakkan aktiviti perhubungan alumni, Pusat Alumni sentiasa seiring dengan hasrat universiti untuk memperkasakan hubungan dan jaringan alumni dengan melaksanakan pelbagai program untuk merapatkan hubungan para alumni dengan universiti dan menyokong universiti kearah matlamat PG200.

Program Tracing Alumni for Collaboration & Engagement (TRACE) di negeri Sabah yang telah dilaksanakan buat pertama kalinya pada tahun 2017 mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Oleh sebab itu, kesinambungan program ini telah dilaksanakan pada tahun ini iaitu pada 19-23 Mac dengan diberi nama TRACE BRIDGES-LINK @ Kota Kinabalu Sabah. Untuk makluman, program ini menumpukan beberapa buah agensi di bawah naungan negeri tersebut. Tujuan asas program ini adalah untuk menjejaki para alumni secara kelompok kecil dengan lebih dekat melalui agensi-agensi yang ditetapkan agar perhubungan alumni di setiap agensi terus diperkasakan dan secara tidak langsung dapat membawa alumni kembali menyumbang kepada Alma Mater.

TRACE BRIDGES-LINK @ Kota Kinabalu Sabah membuka tirai pada 19 Mac 2019 selama 5 hari 4 malam yang meliputi agensi seperti Universiti Malaysia Sabah, Politeknik Kota Kinabalu, Menara Tun Mustapha, dan Lembaga Industri Getah Sabah. Bukan itu sahaja, pihak Pusat Alumni juga tidak melepaskan peluang dengan menjejaki alumni UPM melalui program International Conference on Heart of Borneo.  Pusat Alumni UPM juga telah berjaya melaksanakan Majlis Makan Malam Bersama Chapter Alumni Sabah UPM. Hasil daripada perancangan aktiviti dan lawatan agensi, seramai 83 orang alumni telah dijejaki serta data alumni telah dikemaskini dan pelbagai prospek kolaborasi telah dipersetujui. Pada masa yang sama, program ini juga disasarkan sebagai salah satu landasan terbaik kepada para alumni untuk menyumbang kembali kepada Alma Mater melalui Tabung 1 Alumni 1 Sumbangan Ringgit (1A1SR).

Konklusinya, dalam usaha membudayakan semangat kekitaan, kebanggaan dan keprihatinan alumni terhadap Alma mater, Pusat Alumni (ACUPM) sentiasa memantapkan usaha untuk terus melestarikan rangkaian hubungan yang baik dengan alumni melalui program dan aktiviti yang boleh menjalinkan jaringan alumni dari semua kategori (cohort). Justeru, Pusat Alumni (ACUPM) bercadang memperluaskan penganjuran aktiviti Tracing Alumni @ District (TAD) 2019 yang menumpukan  daerah-daerah dalam negeri ke Zon Timur, Barat dan Utara Semenanjung Malaysia melalui daerah-daerah yang ditetapkan. Terkini, pihak Pusat Alumni bakal menjejaki para alumni UPM zon timur iaitu di daerah Maran, Pekan dan Rompin pada 14-18 April 2018. 

Tarikh Input: 25/07/2019 | Kemaskini: 27/09/2019 | pyanmail

PERKONGSIAN MEDIA

Pusat Alumni
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
B1575739551