UPM PRIHATIN : AGIHAN PEK MAKANAN IFTAR RAMADAN UNTUK PELAJAR KOLEJ KEDIAMAN KAMPUS SERDANG | Alumni Relations Centre
» ARTICLE » UPM PRIHATIN : AGIHAN PEK MAKANAN IFTAR RAMADAN UNTUK PELAJAR KOLEJ KEDIAMAN KAMPUS SERDANG

UPM PRIHATIN : AGIHAN PEK MAKANAN IFTAR RAMADAN UNTUK PELAJAR KOLEJ KEDIAMAN KAMPUS SERDANG

Oleh : Suziana Che Wil


SERDANG - Biarpun dibelenggu wabak pandemik Covid-19, ihsan sesama insan terus dijalankan demi kesejahteraan sejagat. UPM melalui Pusat Perhubungan Alumni yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr Arifin Abdu hari ini mengagihkan pek-pek makanan untuk berbuka puasa kepada pelajar-pelajar UPM yang masih berada di kolej kediaman UPM.

Menurut Prof. Dr Ariffin Abdu, Program Musaadah Ramadan pada tahun ini disertakan dua buah aktiviti iaitu Tautan Mahabbah yang berfokus kepada rumah-rumah kebajikan dan Mawaddah Ramadan kepada pelajar di UPM yang memerlukan.

“Dengan adanya Program Musaadah Ramadan ini, membuktikan bahawa UPM menerusi Pusat Perhubungan Alumni cuba menyeimbangkan tanggungjawab sosial UPM dan Pusat Perhubungan Alumni bukan sekadar terbatas kepada pelajar UPM sahaja malahan kepada masyarakat luar yang memerlukan. Menerusi UPM Prihatin, sedaya boleh UPM cuma menghulurkan tangan untuk terus membantu sama ada pelajar UPM sendiri ataupun masyarakat sekitar yang memerlukan,” ujar beliau.

Berkata pada Program Mawaddah Ramadan, di Kolej Tun Dr Ismail, Prof. Dr Ariffin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua penyumbang yang terdiri daripada kalangan staff UPM, Alumni UPM dan juga orang perseorangan.

“Dengan adanya sikap prihatin begini, ramai pelajar yang memerlukan bantuan dapat menerima manfaatnya. Semoga pada masa akan datang program-program bantuan begini dapat diteruskan lagi,” ujar beliau lagi.

Pada Program Mawadah Ramadan kali ini, seramai 450 orang pelajar kolej kampus Serdang, menerima pek makanan yang diagihkan bermula jam 5 hingga ke 6.30 petang. Program itu juga turut dibantu oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2020/2021.

Menurut wakil daripada MPP iaitu Saudara Muhammad Farhan bin Roslan, program ini dilihat dapat membantu rakan-rakan yang masih berada di kolej sementara menunggu waktu untuk penghantaran pulang pelajar sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. Dengan adanya bantuan prihatin begini, sebenarnya dapat menjimatkan kos pelajar untuk membeli juadah berbuka puasa. Beliau yang mewakili MPP dan juga rakan yang menerima bantuan pek makanan pada program tersebut, mengucapkan terima kasih kepada penganjur program iaitu Pusat perhubungan Alumni dan UPM serta terima kasih kepada pihak penyumbang tidak kiralah daripada kalangan staf UPM, Alumni UPM dan juga orang perseorangan.

“Sesungguhnya jalinan kerjasama erat begini banyak membantu kami pelajar-pelajar di sini. Semoga ukhwah ini diteruskan pada masa akan kerana secara tidak langsung memberikan satu teladan terbaik untuk para pelajar bahawa sumbangan kepada al-mater boleh dilakukan dalam apa juga bentuk apabila kami pula bergelar alumni kelak,”  

Sebelum Program Mawadah Ramadan ini, Program Tautan Mahabbah terlebih dahulu dilancarkan. Program Tautan Mahabbah lebih berfokus kepada rumah-rumah kebajikan. Menerusi Program Tautan Mahabbah, UPM Prihatin menerusi Pusat Perhubungan Alumni berpeluang menyantuni seramai 33 orang penghuni di Pusat Jagaan Anak-anak Yatim / Miskin, Rukaiyah, Sungai Merab, Kajang.

Kesinambungan dua program ini yang disatukan di bawah Program Musaadah Ramadan ini membuktikan bahawa UPM dan Pusat Perhubungan Alumni mengambil berat bukan sahaja keperluan pelajarnya sahaja tetapi juga masyarakat sekitar yang memerlukan bantuan.

Rezeki yang diterima dibahagi sama rata untuk sama-sama menikmati manfaat bulan Ramadan dan seterusnya menyambut Aidilfitri.

Dalam setiap program yang dijalankan mencerminkan UPM begitu matang dalam setiap pengisian yang hendak disampaikan. Bertepatanlah apabila tahun ini UPM turut meraikan Sambutan Perayaan Jubli Emas 50 tahun UPM (1971-2021). Pada usia yang matang, UPM terus mengungguli nama sebagai institusi pendidikan tinggi yang cemerlang.    

Date of Input: 07/05/2021 | Updated: 07/05/2021 | msahrizan

MEDIA SHARING

Alumni Relations Centre
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BVMXLcK:11:28