Bicara Santai Bersama Presiden Persatuan Alumni UPM, Dato’Raihan Sharif (Alumni UPM 1978 & 1982) | Alumni Relations Centre
» ARTICLE » Bicara Santai Bersama Presiden Persatuan Alumni UPM, Dato’Raihan Sharif (Alumni UPM 1978 & 1982)

Bicara Santai Bersama Presiden Persatuan Alumni UPM, Dato’Raihan Sharif (Alumni UPM 1978 & 1982)

Oleh : Suziana Che Wil

Suntingan : Nik Hafzaini Nik Hassan

Tanggal 29 Jun 2021 genaplah usia Persatuan Alumni UPM (PAUPM) yang ke-50 tahun. Lima dekad lalu, PAUPM telah membina jaringan dan landasan bersama alumni UPM untuk mereka bersama-sama kembali menyumbang kepada alma mater

Biarpun presiden PAUPM silih berganti, namun objektf yang dibawa tetap sama iaitu menjalin hubungan yang akrab di antara ahli bertujuan untuk mempertingkatkan kemampuan intelektual, akademik dan nilai diri mereka. Di samping itu dapat memupuk perhubungan yang baik antara alumni dan UPM untuk faedah bersama. 

Bersempena Sambutan Ulang Tahun 50 tahun PAUPM, Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM) selaku entiti yang bergerak rapat dan seiring telah mengadakan satu wawancara ringkas bersama Presiden PAUPM iaitu, Dato’ Raihan Sharif. 

Ikuti sesi temu bual di bawah; 

ARCUPM : Pada tahun awal Dato’ menyandang jawatan sebagai Presiden PAUPM, apa cabaran yang perlu Dato’ tempuh selaku Presiden PAUPM? 

Dato’ Raihan :  Cabaran dan amanah besar yang perlu ditanggung oleh seorang Presiden  Persatuan Alumni UPM (PAUPM) adalah banyak dan berbagai.  Pada saya, dua perkara utama yang perlu saya lunaskan ialah untuk memastikan PAUPM  terus dapat menyumbang kepada kecemerlangan pendidikan di UPM. Dalam masa yang sama untuk  mengeratkan lagi silaturahim antara ahli untuk kebaikan bersama.  

 

ARCUPM : Meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh mereka terdahulu bukanlah mudah. Apakah yang memberi semangat kepada Dato’ dalam usaha membawa PAUPM sehingga hari ini dan sehingga PAUPM sudah mampu menjana pendapatannya sendiri?

Dato’ Raihan : Walaupun cabaran dan amanah besar perlu dihadapi, namun saya tidak berasa kekok kerana saya pernah untuk satu penggal dilantik sebagai Exco dan satu penggal sebagai Timbalan Presiden PAUPM.  Oleh yang demikian, saya telah memahami akan objektif penubuhan PAUPM itu sendiri. Di samping itu,  sokongan kuat daripada exco dan ahli-ahli alumni  telah memberi semangat kepada saya untuk meneruskan legasi  PAUPM walaupun penanda aras yang telah dipaksikan oleh mantan Presiden terdahulu cukup tinggi. Hasrat saya untuk menyumbang kepada alma mater dan impian untuk memastikan PAUPM terus cemerlang  telah mendorong saya terlibat secara langsung dalam kepimpinan PAUPM.

 

ARCUPM : Kepentingan berpersatuan kepada para alumni, selain daripada menyumbang kembali kepada alma mater, apa lagi pentingnya untuk melibatkan diri ke dalam persatuan yang boleh Dato’ katakan?

Dato’ Raihan : Adalah amat penting para alumni untuk bergabung tenaga di dalam sesuatu persatuan sama a da kumpulan kecil ataupun chapter seperti kelas, kursus, tahun, negeri  atau pun terus dengan PAUPM.  Walaupun seseorang boleh menyumbang  kepada alma mater secara individu tetapi jika dikumpulkan tenaga tersebut dalam persatuan, impaknya akan lebih lebih besar dan berkesan. Sebagai contoh, jikalau PAUPM berhasrat ingin mengumpulkan dana bagi sesuatu program/projek untuk disalurkan kepada pembangunan UPM, dan diandaikan semua 100,000 ahli PAUPM menyumbang minima RM10 seorang, jumlah dana yang boleh dikumpul adalah lebih besar berbanding sumbangan secara perseorangan. 

Di samping itu, silaturahim yang erat antara ahli hasil daripada berpesatuan juga merupakan satu rangkaian meluas dan ia boleh membantu pembangunan kerjaya seseorang alumni sama ada dalam perkhidamatan awam, sektor korporat ataupun sebagai usahawan yang berjaya.  

 

ARCUPM : Persatuan merupakan satu entiti/badan NGO yang tidak berasaskan keuntungan. Ada ketikanya ia kurang menjadi pilihan golongan muda untuk menyertainnya.  Boleh Dato’ berikan sedikit komen mengenai hal ini dan apa yang boleh Dato’ katakan kepada alumni yang masih ada pendapat seperti ini?

Dato’ Raihan : Kepada mereka yang tidak atau kurang berminat untuk berpesatuan alumni, saya cuma ingin berpesan bahawa tidak mungkin anda menjadi diri seperti anda pada hari ini jikalau tidak kerana ilmu atau pengalaman yang anda perolehi semasa anda berada di UPM yang kita sayangi ini. Oleh itu, jangan berlengah lagi. Ayuh kita bersama berganding bahu untuk menyumbang kembali kepada alma mater melalui rangkaian PAUPM.

 

ARCUPM : Sebagai alumni UPM dan orang yang bertanggungjawab ke atas PAUPM, boleh Dato’ titipkan kata-kata semangat kepada pelajar hari ini yang terkesan dengan pandemik wabak Covid-19 dan apakah yang persatuan boleh berikan kepada mereka?

Dato’ Raihan : Kita sedia maklum  bahawa pandemik wabak Covid -19 yang sudah lebih setahun melanda dunia dan negara kita adalah sesuatu yang kita kena hadapi dengan tabah.  Sebagai pelajar di IPTA kita harus cepat menyesuaikan diri dengan norma baharu kehidupan ini dan berkemungkinan kita akan terpaksa hidup dalam keadaan begini  dalam jangka masa lama selagi tiada penyelesaian dapat diperolehi oleh pihak berkuasa.  Oleh itu, amat penting kita sentiasa menjaga kesihatan supaya tidak terdedah jangkitan kerana akibatnya boleh memudaratkan masa hadapan kita, keluarga dan negara. Bagi membantu para pelajar,  PAUPM memang sentiasa bekerjasama dengan UPM untuk mencari dana dan menganjurkan program bagi membantu pelajar asnaf dan mereka yang kurang berkemampuan. 

 

ARCUPM : Bersempena sambutan ke 50 tahun terbinanya PAUPM, apa harapan Dato’ pada masa hadapan kepada PAUPM khasnya dan kepada para alumni UPM amnya. 

Dato’ Raihan : Sempena sambutan ke 50 tahun usia pendaftarannya, saya berharap PAUPM akan terus bekerja keras untuk merancang dan melaksanakan program/aktiviti yang boleh membantu kecemerlangan UPM. Kini PAUPM telah mula bergerak daripada program/aktiviti yang bercorak sosial semata-mata kepada program/aktiviti berbentuk intelektual dan pembangunan sosio-ekonomi dengan menggunakan ilmu, kepakaran dan pengalaman dari ahli-ahli kami.  PAUPM juga sedang berusaha untuk menjana pendapatan sendiri melalui aktiviti perniagaan dengan harapan keuntungan yang diperolehi dapat membiayai program/aktiviti yang lebih bermanfaat kepada ahli dan UPM. Dengan sumber kewangan yang kukuh, PAUPM berkemampuan untuk mewujudkan dana atau endowmen untuk kebajikan pelajar UPM seperti telah dilaksanakan oleh persatuan alumni universiti-unversiti ternama dunia.

Adalah menjadi impian PAUPM untuk memiliki bangunan sendiri supaya para alumni ada “rumah” yang mereka boleh kembali ke kampus untuk mengimbau nostalgia pada zaman mereka menjadi pelajar di UPM. 

Selaras dengan hasrat untuk meremajakan persatuan, PAUPM juga amat berharap lebih ramai alumni muda tampil dalam program/aktiviti yang diaturkan. Penglibatan alumni muda adalah penting kerana mereka mempunyai tenaga dan idea kreatif yang boleh mencorakkan imej PAUPM. 

Di samping itu, PAUPM juga berhasrat untuk mengembangkan sayap keluar negara di mana ramai alumni UPM berada. Pada PAUPM, alumni antarabangsa adalah duta kepada UPM dan Malaysia amnya.   

Kepada para alumni, PAUPM menyeru kepada mereka untuk mengikuti dan terlibat aktif dalam program yang telah diatur. Kepada mereka yang belum berdaftar, boleh menghubungi Sekretariat PAUPM ataaupun melayari Facebook, Telegram  dan portal  PAUPM untuk mendapatkan maklumat terkini. Mari lah bersama dalam keluarga besar PAUPM untuk membantu kecemerlangan alma mater kita dan kemajuan negara amnya.

Untuk mengemaskini maklumat diri dan menjadi ahli PAUPM sila layari pautan di bawah:

https://www.paupmnetwork.my

Date of Input: 28/08/2021 | Updated: 28/08/2021 | hafzaini

MEDIA SHARING

Alumni Relations Centre
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BUJYOAp:14:11