Arca Jubli Emas 50 Tahun UPM Simbolik Nilai Sebuah Sejarah | Alumni Relations Centre
» ARTICLE » Arca Jubli Emas 50 Tahun UPM Simbolik Nilai Sebuah Sejarah

Arca Jubli Emas 50 Tahun UPM Simbolik Nilai Sebuah Sejarah

Oleh : Suziana Che Wil

Suntingan : Nik Hafzaini Nik Hassan

 

 

Menelusuri 50 tahun Universiti Putra Malaysia (UPM) merupakan satu perjalanan jauh dan panjang. Tercatat pelbagai memori indah yang tersimpan dilipatan sejarah yang akan dikenang sepanjang perjalanan institusi yang menyambut genapnya 50 tahun penubuhan sebagai sebuah universiti pada 29 Oktober 2021.

Sepanjang tempoh 50 tahun penubuhannya yang bermula dengan dikenali sebagai Sekolah Pertanian, kemudian dinaiktaraf kepada Kolej Pertanian Malaya. Pada tahun 1971, Kolej Pertanian Malaya telah dikenali sebagai sebuah universiti iaitu Universiti Pertanian Malaysia.

Universiti Pertanian Malaysia memulakan sesi akademiknya pada 23 Julai 1973 dengan pengambilan seramai 1,559 pelajar. Pelajar-pelajar tersebut memulakan pengajian di tiga fakulti pengasas dan satu bahagian asasi iaitu Fakulti Kedoktoran Veterinar dan Sains Penternakan, Fakulti Perhutanan, Fakulti Pertanian dan Bahagian Sains Asasi, yang pada masa itu menekankan bidang perhutanan dan veterinar selaras dengan dasar dan keperluan negara.

Pada tahun 80-an, UPM mengembangkan lagi bidang pengajian ke bidang Sains dan Teknologi. Pada tarikh 3 April 1997, nama universiti ditukar lagi daripada Universiti Pertanian Malaysia kepada Universiti Putra Malaysia oleh Mantan Perdana Menteri, YAB Tun Dr. Mahathir Mohammad, untuk menggambarkan status UPM sebagai pusat pengajian tinggi yang merangkumi pelbagai bidang, terutamanya sains dan teknologi maklumat yang menjadi keperluan kepada pembangunan negara di alaf baru ini.

Selaras itu, UPM terus berdiri gah dengan merangkul pelbagai anugerah dan pencapaian yang menunjukkan kecemerlangan UPM sebagai menara ilmu yang matang seiring usianya. Penarafan demi penarafan dicapai antaranya oleh QS University Rangkings Asia, UPM berjaya menduduki tangga ke 27 terbaik Asia dan kedua terbaik di Malaysia. Dalam tempoh tiga tahun ke hadapan, UPM telah berjaya membaiki kedudukannya daripada berada pada pada tangga ke-33 pada tahun 2020, tangga ke-28 pada tahun 2021 dan pada tahun 2022, sekali lagi UPM memperbaiki kedudukannya kepada angka lebih baik iaitu tangga ke-27 terbaik Asia.

Manakala untuk penarafan pada peringkat dunia pula UPM berada pada tangga 143 terbaik dunia. UPM juga diiktiraf sebagai terbaik dalam bidang Pertanian dan Perhutanan iaitu menduduki tangga pertama di Malaysia, manakala tangga ke 80 terbaik di dunia. Satu pengiktirafan yang tinggi dan membuktikan kecemerlangan graduan UPM seiring dan sejajar dengan matlamat universiti untuk melahirkan graduan yang mampan.

Sejajar dengan sambutan Perayaan Jubli Emas 50 Tahun UPM (1971-2021) dengan moto ‘Pertanian, Inovasi, Kehidupan’ UPM menerusi kepemimpinan Naib Canselor UPM,  Ybhg Prof. Dr. Roslan Sulaiman komited untuk terus meningkatkan prestasi UPM sebagai peneraju kampus hijau di negara ini.  

Menerusi sokongan beliau dan juga seluruh warga UPM, dengan kejayaan demi kejayaan yang diraih hinggalah kepada penganjuran program kecergasan maya yang direka khas untuk memeriahkan sambutan Perayaan Jubli Emas 50 Tahun UPM (1971-2021) iaitu UPM Alumni Golden Fit 2021 telah berjaya dicatatkan dalam The Malaysia Book of Records (MBR) apabila menerima penyertaan terbesar daripada alumni, seramai 6,207 peserta.

Kejayaan ini, sekaligus mencatatkan sejarah tersendiri untuk sambutan 50 tahun penubuhan UPM. Lebih memberi erti melalui kejayaan program UPM Alumni Golden Fit 2021, pembinaan Arca 50 Tahun UPM ini dapat direalisasikan hingga sempurna pembinaan. Kos pembinaan keseluruhan sebanyak RM19 ribu, yang mana RM15 ribu adalah tajaan sepenuhnya daripada pihak Menteri Besar Selangor, manakala RM4 ribu adalah sumbangan yuran penyertaan program daripada para alumni UPM yang menyertai UPM Alumni Golden Fit 2021.

Secara dasarnya, pembinaan telah pun mendapat kelulusan daripada Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti yang diadakan pada 28 Julai 2021 dan pembinaan ini dijangka siap sepenuhnya pada 21 Disember 2021.

 

Signifikan Pembinaan Arca Tanda Sebuah Kejayaan

Pembinaan sesebuah arca merupakan salah satu disiplin seni halus yang kian mendapat tempat dalam pembangunan bandar di negara ini. Pembinaan arca sama ada di ruang dalam bangunan atau di luar bangunan mampu menambah nilai persekitarannya juga sebagai simbol kejayaan atau kekuatan sesebuah organisasi.

Itulah yang dihasratkan apabila Arca Jubli Emas 50 Tahun UPM dibina sempena Sambutan Perayaan Jubli Emas UPM, tentunya arca tersebut bukan hanya memperlihatkan estetika luaran tetapi membawa maksud tersirat yang mewakili aspirasi organisasi di dalamnya. Keberadaan Arca Jubli Emas 50 Tahun UPM ini mampu memberi nilai tambah kepada persekitaran UPM mahupun keterlihatan imej kepada pihak yang menganugerahkan pembinaannya.

Lebih mendalam lagi pembinaan Arca 50 Tahun ini juga menjadi simbolik kepada sejarah 50 tahun penubuhan UPM sebagai sebuah universiti yang bermula pada tahun 1971-2021. Selain itu pembinaan ini juga dapat menterjemahkan aspirasi 50 Tahun UPM sebagai sebuah univeristi yang bereputasi antarabangsa. Pastinya menerusi pembinaan arca ini juga dapat memupuk semangat kekitaan dan rasa bangga dalam kalangan alumni dan warga UPM yang turut sama menyumbang kepada kejayaan ini.

 

Simbolik Di Sebalik Logo Arca 50 Tahun UPM

Meneruskan sentuhan hebat daripada alumni UPM, logo Arca 50 Tahun UPM ini telah direka oleh Saudara Mohd Hairul Hazizi bin Amat Tokimin. Beliau merupakan alumni kelas 2001 (Diploma Perhutanan) dan 2005 (Bacelor Senibina Landskap).

Setiap daripada simbol yang terpapar pada Arca ini mempunyai nilai dan makna yang tersendiri;

Warna Emas ; melambangkan 50 tahun kegemilangan UPM sebagai Menara ilmu kearah kemakmuran negara dan kesejahteraan masyarakat.

Warna Kelabu ; melambangkan keneutralan, keluwesan dan ketekalan.

Warna Merah ; melambangkan dinamisme kepada tradisi perjuangan ilmu dan juga semangat perintis, keberanian, dan ketahanan menghadapi cabaran.

Garisan Tiga Melengkung di Tengah ; melambangkan wawasan universiti yang sentiasa ke hadapan dan juga membawa maksud tiga fungsi utama universiti iaitu pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan. Bentuk bulatan ibarat sebuah institusi yang bergerak dengan pantas dan konsisten.

Pelepah dan Palma Serdang yang segar dan mekar di kiri ialah simbol dahan yang melambangkan kepelbagaian bidang dan rumpun warga UPM serta kepentingan pertanian dan kelangsungan kehidupan dan kemakmuran manusia yang merupakan tumpuan kekuatan UPM seiring Pelan Strategik UPM.

Manakala kombinasi warna emas, hijau, merah, kelabu dan putih membawa maksud keharmonian, kestabilan, keceriaan, kematangan dan dinamisme kekal sehingga kini pada usia 50 tahun dalam sistem pendidikan tinggi.

Date of Input: 07/12/2021 | Updated: 07/12/2021 | suziana.wil

MEDIA SHARING

Alumni Relations Centre
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BVBdQAv:16:17