Alumni Contribute Device And Data Plans Through 1 Alumni 1 Ringgit Contribution | Alumni Relations Centre
» ARTICLE » Alumni Contribute Device and Data Plans Through 1 Alumni 1 Ringgit Contribution

Alumni Contribute Device and Data Plans Through 1 Alumni 1 Ringgit Contribution

Oleh : Suziana Che Wil

Suntingan : Nik Hafzaini Nik Hassan

“Saya terpaksa menangguhkan pengajian untuk semester lepas bagi memberi laluan kepada adik beradik saya menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Alhamdulillah dengan adanya bantuan ini saya akan manfaatkannya untuk saya berjaya dalam pengajian saya,” – Nurafifah Samudin, Bachelor Sains (Pembangunan Sumber Manusia), Fakulti Ekologi Manusia.

Tidak adil jika ini berlaku dalam sebuah universiti yang mempunyai bilangan alumni hampir cecah ratusan ribu alumni. Menyedari keadaan sudah berubah dengan penularan pandemik wabak Covid-19, hampir keseluruhan kelas pengajian sudah beralih kepada Open Distance Learning (ODL), dengan peranti dan pelan data sudah menjadi keutamaan.

Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan jumlah bilangan pelajar lebih kurang 21,302 (statistik kemas kini 2019), pastinya ada dalam kalangan pelajar yang terjejas terutamanya mereka daripada keluarga B40. Tidak semua keluarga mampu untuk menyediakan peranti yang lengkap untuk anak-anak menghadapi situasi baru dalam pengajian. 

Pada tahun 2016, UPM menerusi Pusat Perhubungan Alumni telah menggerakkan satu kempen yang diberi nama 1 Alumni 1 Sumbangan Ringgit (1A1SR). Hari ini dengan sumbangan tabung ini, ramai pelajar yang terjejas dari sudut kewangan dan kemudahan lain untuk pengajian telah dapat dibantu. 

Statistik sehingga Mac 2021 (untuk suku pertama 2021), tabung 1A1SR telah memperoleh sumbangan sebanyak RM15,000. Dengan sumbangan ini, Pusat Perhubungan Alumni dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Pusat Pengurusan Zakat, Wakaf dan Endowmen (WAZAN) dan Pejabat Bursar telah mengenalpasti lima orang pelajar terpilih dan amat memerlukan diberi bantuan peranti dan pelan data pada semester baharu yang lalu dengan nilai sumbangan RM14,400.00. 

Pastinya sumbangan ini bukanlah satu bantuan yang kecil kerana ada di antara mereka yang perlu menangguhkan pengajian ekoran ketiadaan peranti untuk pengajian secara dalam talian. Usaha ini juga dilihat sebagai satu inisiatif UPM dalam memartabatkan bidang kesarjanaan dan keilmuan selari dengan misi universiti dalam memberi sumbangan bermakna kepada pembentukan kekayaan dan pembangunan negara serta kemajuan manusia sejagat menerusi penerokaan dan penyebaran ilmu.

SALURAN ALUMNI UNTUK MENYUMBANG

Terdapat lima (5) saluran yang disediakan kepada alumni UPM yang ingin bersama-sama menyumbang bakti kepada alma mater menerusi sumbangan 1A1SR. Alumni boleh memilih salah satu caranya; 

  1. Secara sukarela oleh staf UPM (Alumni UPM) melalui Skim Potongan Gaji.
  2. Secara perbankan atas talian “UPM Payment Gateway” https://paygate.upm.edu.my. Buat bayaran kepada “Kempen Menyumbang My1A1R”.
  3. Secara tunai dan cek melalui bank:“KIRA-KIRA AM UPM” No. Akaun: 800-215-1963 (CIMB BANK) (Sila kemukakan salinan atau resit transaksi melalui emel).
  4. Secara deposit tunai / pindahan wang (Sila kemukakan salinan atau resit transaksi melalui faks atau emel)
  5. Kutipan melalui tabung bergerak yang diedarkan semasa program dan aktiviti Alumni.

 

MANFAAT KEPADA ALUMNI YANG MENYUMBANG

Berat sama di pikul ringan sama di jinjing. Kesepakatan ini bukan sahaja membawa berkat di dunia malahan di juga akhirat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; “Di saat kematian seorang anak Adam, maka akan terputuslah segala amalannya, melainkan hanya tiga perkara iaitu ilmu yang bermanfaat, anak soleh yang mendoakannya dan sedekah jariah

Sumbangan yang mungkin ringan di dunia tetapi berat timbangannya di akhirat. Sedikit atau banyak sumbangan yang dihulurkan bukan kayu pengukur tetapi dengan sedikit sumbangan itu telah banyak meringankan beban keluarga pelajar yang tidak berkemampuan. Itu objektif utama dalam menggerakkan tabung sumbangan 1A1SR. 

Mengambil kira komitmen para alumni dan sebagai penghargaan kepada sumbangan yang diberikan kepada alma mater,  penyumbang layak mendapat pengecualian cukai pendapatan di bawah Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 (No. Rujukan: LHDN. 01/35/42/51/179-6,1888).

Dengan moto “Berilmu Berbakti” banyak cara untuk kembali menghargai alma mater. Tidak mampu dari segi kewangan, mungkin buah fikiran dan idea bernas menunjukkan kebersamaan berganding bahu lebih memberi erti. Jadi bersama-sama kita mencitrakan alumni untuk sama-sama membawa UPM ke mercu kejayaan yang terunggul. Pastinya “Kami Bangga Menjadi Alumni UPM” sentiasa tersemat di sanubari.

 

Date of Input: 28/08/2021 | Updated: 28/08/2021 | hafzaini

MEDIA SHARING

Alumni Relations Centre
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+6039769 1017
0386566933
BUJYNAb:13:45